Rasanya dah lama kami tak
pergi ke Cameron Highlands. Kali terakhir saya ke sana ialah pada 2015 manakala
En Hubby pula pada 2011. Sejak kami berkahwin, memang selalu merancang nak ke
sana, tapi disebabkan mengandung dan selepas tu baby pun masih terlalu kecil,
kami tunda rancangan ini sehinggalah En Hubby bagi green light untuk ke Cameron
Highlands pada 21 Julai lepas.
Café Ladang Teh Bharat / Cameron Valley 1
Dari awal kami merancang
untuk tiba ke ladang teh Bharat selewatnya pada pukul 8.30 pagi sebab kami nak
menikmati keindahan ladang teh pada awal pagi selain menjadi antara orang
terawal yang tiba ke sana (kami tak berapa suka keadaan yang crowded). Jadi,
kami memilih untuk minum teh tarik dan teh o panas bersama sandwich di sebuah
café di ladang teh Bharat (ini adalah café pertama yang akan anda jumpa jika
perjalanan anda dari Tapah ke Cameron Highlands).
Café ini adalah lebih
kecil berbanding café di ladang the Bharat yang satu lagi. Pilihan makanan
adalah sangat terhad kepada pilihan kek dan sandwich. Untuk minuman, ada
pelbagai pilihan termasuk minumam coklat dan bergas.
Pintu masuk ke Ladang Teh 1. Sumber: Google Image
Café Ladang Teh Bharat / Cameron Valley 2
Setelah meluangkan masa
lebih sejam disini, kami bertolak ke café yang satu lagi yang terletak tak jauh
daripada café ini, lebih kurang 10km perjalanan yang berbukit bukau dan
berliku. Setibanya disini, dah banyak kenderaan memenuhi ruang parking. Kami
hanya parking di bahu jalan kemudian berjalan ke ladang teh tersebut melalui
café yang dipenuhi pengunjung yang sedang menikmati sarapan pagi sambil
menghirup udara segar ladang teh. Untuk masuk ke ladang teh (ini tujuan datang kesini), bayaran RM2.00
dikenakan bagi setiap pengunjung dewasa, manakala kanak-kanak adalah percuma.
Subhanallah, pemandangan
disini sangat cantik dan mengagumkan. Ramai pengunjung keluar masuk ke kawasan
ini sambil mengambil gambar sebanyak mungkin sebagai kenangan, termasuklah
kami. Tangga disini sedikit curam, hendaklah berhati-hati semasa menuruni serta
menaiki tangga di sini.
Gambar cafe dari sisi Ladang Teh 2. Sumber: Google Image
Ladang Teh 2. Sangat cantik! Sumber: Google Image
Mardi, Tanah Rata
Setelah lebih 45 minit
bergambar dan menikmati keindahan ladang teh, kami bertolak ke Mardi Cameron
Highlands yang terletak di Tanah Rata. Walaupun ini adalah hujung minggu yang
biasa, tetapi sangat banyak kenderaan memenuhi kawasan parking. Kami sangat
bertuah sebab dapat parking betul-betul dihadapan kaunter bayaran. Bayaran
masuk ialah RM5.00 bagi pengunjung dewasa dan RM2.00 untuk kanak-kanak.
Disebabkan Humaira baru satu tahun, tiada bayaran diperlukan. Kami bawa
stroller untuk mudahkan aktiviti jalan-jalan disini. Kawasan ini sangat luas
dan dengan adanya stroller, ianya amat memudahkan kami untuk jalan-jalan dengan
santai kesetiap sudut yang disediakan kepada pengunjung.
Kami disambut dengan
beberapa buah van menjual makanan seperti ais krim, strawberi coklat, makanan
ringan dan lain-lain. Kami menikmati strawberi coklat dan ais krim di kerusi
yang disediakan sambil menikmati keindahan kawasan ini.
Kemudian kami berjalan
sekitar taman bunga dan menuju ke sebuah café yang menjual ais krim strawberry.
Kami mencuba ais krim strawberry yang ditabur strawberry segar diatasnya
(RM4.00 setiap satu) di café ini. Sangat sedap dan worth the money!
Kemudian kami berjalan ke
kawasan lapang yang berdekatan sebuah teko besar, taman rama-rama, taman
burung, kandang arnab dan kincir air yang cantik. Kami biarkan Humaira bermain
di kawasan lapang yang diselimuti rumput tanpa memakai kasut. Humaira nampak
suka sangat, walaupun baju dah kotor dek tanah yang lembab, kami biarkan sahaja
asalkan Humaira dapat bermain dengan rumput dan tanah. Kemudian kami melawat
haiwan-haiwan disitu dan melihat kincir air dari jarak dekat.
Walau agak kepenatan,
kami teruskan berjalan di taman yang mempunyai air pancut. Kawasan ini
mempunyai bunga-bunga dan tumbuhan yang cantik. Amat menyegarkan melalui
kawasan taman ini.
Sumber: Google Image
Café Lorong, Brinchang
Setelah meluangkan masa
hampir 2 jam di Mardi, kami pun dah kelaparan. Hasil carian google, kami
memlilih untuk makan tengahari di Café Lorong. Jarak hanyalah lebih kurang
10km, namun masa yang diambil untuk sampai ke café ini ialah lebih 1 jam
disebabkan kesesakan lalu lintas. Rupanya café ini terletak berhampiran dengan
Kea Farm, patutlah sangat sesak. Kami sangat bernasib baik kerana dapat parking
berhadapan dengan café ini.
Kami memesan nasi goreng
kampong + telur mata dan nasi goreng cina + telur dadar serta minuman. Total
kos ialah RM18.00 dan makanan sangat sedap, dalam portion yang agak besar.
Sumber: Google Image
Copthorne Hotel, Cameron Highlands
Kami menempah sebuah
bilik superior untuk 2 orang di Copthorne Hotel melalui website Fave. Harga
yang ditetapkan semasa pembelian ialah RM167.00 untuk satu malam (tanpa sarapan
pagi). Kami menempah bilik ini dua minggu lebih awal. Waktu check-in hotel
ialah pukul 3.00 petang. Kami tiba lebih awal iaitu pada 2.45 petang dan terus
ke bahagian reception untuk check-in. Kami meminta agar bilik kami mempunyai
valley view dan sebuah katil king. Staff di bahagian reception sangat baik dan
menurut permintaan kami, namun kami perlu menunggu sebentar sementara mereka
menyediakan bilik itu. Staff itu juga menawarkan baby cot untuk Humaira (free
of charge) dan kami menerimanya. Kami juga menempah sarapan pagi untuk dua
orang di café hotel untuk keesokan hari (RM25.00 / dewasa).
Kami masuk ke bilik
sekitar pukul 3.40 petang. Bilik kami di aras 8, nombor 19. View dari bilik
memang cantik. Bilik ini agak luas, Humaira boleh merangkak ke sana sini namun
karpet bilik sedikit lusuh dan ada rambut diatasnya membuatkan saya sedikit
tidak selesa. TV berfungsi dengan baik dengan beberapa pilihan channel. Hotel
ini bertaraf 4 bintang namun kami agak terkilan kerana ianya tidak menyediakan
sejadah dan seterika selain tidak mempunyai balkoni dan tub mandi di bilik air.
Sinki dan kipas bilik juga tidak berfungsi dengan baik.
Sumber: Google Image
Kami dapat bilik yang sama macam dalam gambar. Sumber: Google Image
Pasar Malam, Sungai Ruil
Setelah berehat seketika,
kami bertolak ke Pasar Malam pada pukul 6.30 petang. Perjalanan dari hotel
mengambil masa lebih kurang setengah jam. Kenderaan sangat banyak dan kami
berjaya parking di bahu jalan, tak jauh dari pasar malam.
Kami rancang untuk beli
makan malam di sini dan makan di hotel. Ada banyak pilihan makanan dari sayur
goreng, ayam goreng, nasi ayam, lamb grill dan macam-macam lagi. Kami melawat
sepanjang pasar malam. Ada banyak cenderahati, pakaian, strawberry, jagung dan
pokok-pokok dijual sini. Kami beli strawberry sekali lagi dan jagung mutiara
(sangat sedap dan manis!).
Overall, harga di pasar
malam sedikit mahal berbanding di Kea Farm. Mujurlah kami tak borong sakan
disini sebab kami dah merancang nak membeli di Kea Farm keesokan harinya.
Sumber: Google Image
Sarapan Pagi @ Copthorne Hotel, Cameron Highlands
Kami bersiap seawal 7.00
pagi untul bersaparan di café hotel. Sarapan pagi bermula 6.30 pagi sehingga
10.30 pagi. Kami antara yang awal tiba dan masih banyak meja yang kosong. Ada
banyak pilihan makanan.
Saya mencuba beberapa
pilihan roti, mee goreng, beef potato, bubur, buah-buahan, jagung, scramble
eggs dan lain-lain. Ada pilihan makanan lain seperti nasi lemak, roti jala,
waffle dan sebagainya. Pilihan makanan agak banyak dan rasanya agak biasa
sahaja. Kami meluangkan lebih satu jam setengah disini kemudian ke kawasan
lobby untuk bergambar.
Kea Farm, Brinchang
Kami check-out dari hotel
sedikit awal kerana kami mahu menghabiskan masa di Kea Farm. Kami meletakkan
kereta di bahu jalan sahaja kerana terdapat banyak dan deretan kereta si
sepanjang jalan. Ada sebuah tempat parkir kereta di hadapan Kea Farm dengan bayaran
RM3.00 sekali masuk. Kami melintasi jalan kea rah Kea Farm dan membelek semua
barangan yang dijual. Kami sempat membeli sayur sayuran, bunga ros segar, pokok
herba, bungkusan teh pelbagai perisa dan mencuba makanan yang dijual di tepi
jalan seperti jagung, ubi manis dan kacang. Keadaan pengunjung yang agak ramai
dan jalan yang berlopak mempunyai air membuatkan kami sedikit tidak selesa dan
mempercepat masa membeli belah disini.
Setibanya kami di kereta,
terdapat satu saman dari Polis kerana meletakkan kereta dibahu jalan. Jadi,
pengunjung-pengunjung yang bakal melawat Kea Farm, seeloknya meletakan
kenderaan di dalam kawasan parking berbayar untuk mengelakkan
saman.
Kea Farm. Sumber: Google Image
Avant Chocolate Factory / Green Hill View
Di dalam kereta sambil menikmati
ubi, jagung dan kacang yang masih panas, kami menuju ke Awant Chocolate
Factory. Kami memilih lokasi ini atas cadangan ramai pengunjung yang pernah ke
sana.
Setibanya disini, kami
disapa oleh seekor dinasour plastic yang besar di hadapan kedai coklat. Selepas bergambar, kami terus mendapatkan ais krim strawberi yang sedap tapi mahal lah sikit RM9.90 bagi ais krim yang biasa. Kemudian kami masuk ke kandang arnab dan melawat sekitar kawasan ini.
Sumber: Google Image
Hujung minggu kami di Cameron Highlands antara memori indah yang takkan kami lupakan. Inshaallah jika ada kesempatan, kami bercadang untuk melawat Cameron Highlands sekali lagi.
No comments:
Post a Comment